Thursday, August 22, 2013

TIP MEMANDU BAGI WANITA HAMIL

WALAU pun sedang hamil, namun ia bukanlah penghalang untuk seseorang wanita itu ‘bersara’ sejenak daripada memandu. Tidak dinafikan ada wanita yang akan mengharapkan bantuan suami untuk menghantarnya ke mana-mana ketika sedang hamil. Namun bagi wanita yang memilih untuk berdikari, sudah pasti mereka tidak mahu menyusahkan si suami. Lantas, biar pun ‘penat membawa perut’, namun tugas memandu termasuklah menghantar anak-anak ke sekolah tetap diteruskan.
Biar pun bakal mengalami sedikit (atau mungkin juga teruk) kelelahan sepanjang kehamilan, namun rutin harian ini masih tetap boleh dilakukan asalkan tidak sampai menjejaskan keselamatan dan kesihatan anda serta si kecil yang berada di dalam kandungan. Namun jika anda bercadang mahu memandu untuk perjalanan yang jauh dan memakan masa yang lama, dinasihatkan agar anda melakukan pemeriksaan kesihatan dan kandungan agar tidak menimbulkan sebarang masalah sepanjang pemanduan. Trimester Pertama Sering kali pada tempoh awal kehamilan, anda mungkin mengalami gejala morning sickness dan ia akan membuatkan tubuh badan kurang sihat, agak lemah, mual, muntah dan pening kepala. Dinasihatkan agar anda tidak memandu jika sedang mengalami morning sickness. Sebelum memandu, dinasihatkan agar anda menjamah makanan biar pun sekadar sedikit saja untuk mengalas perut. Jika perut anda kosong, ia boleh mendorong rasa mual ketika memandu, lebih-lebih lagi jika penghawa dingin terpasang di dalam kereta. Anda juga digalakkan agar membawa bekalan makanan ringan dan air sepanjang perjalanan. Ada kalanya wanita hamil akan cepat berasa lapar, jadi dengan adanya bekalan makanan ini, bolehlah anda makan dalam perjalanan. Selain daripada itu, pastikan anda juga membawa gula-gula atau gula-gula getah. Mungkin anda boleh memakannya bagi mengelakkan rasa mual ketika memandu. Antara perkara lain yang penting ialah jangan lupa sediakan beg plastik di dalam kenderaan untuk kecemasan jika anda muntah. Dan jika anda terasa pening, mual atau pun muntah secara tiba-tiba, segera memperlahankan kenderaan dan berhenti di kawasan yang selamat. Berehat seketika sebelum memulakan kembali perjalanan. Andai keadaan anda tidak mengizinkan untuk memulakan kembali pemanduan, dinasihatkan agar anda menghubungi keluarga atau kenalan terdekat untuk membantu anda. Ingat, memandu di dalam keadaan yang kurang sihat boleh menjejaskan keselamatan anda sendiri. Trimester Kedua Jika terasa tulang belakang mula sakit, anda dinasihatkan agar berhenti seketika di kawasan yang selamat untuk berehat. Apabila keadaan anda mula kembali pulih, barulah sesuai untuk meneruskan pemanduan. Jika otot atau sendi mula terasa lenguh atau ngilu, anda juga boleh berhenti sejenak di kawasan selamat, keluar dari kereta atau lakukan sedikit senaman regangan yang boleh membantu menenangkan tubuh badan. Trimester Ketiga Untuk mengelakkan rasa sengal atau sakit bahagian belakang badan, letakkan bantal kecil di belakang anda ketika memandu. Elakkan perut terlalu rapat dengan stereng dan pastikan kaki boleh menekan pedal sepenuhnya. Jika takut perut terkena stereng, anda juga boleh meletakkan bantal kecil di antara perut dan stereng. Jika tersangkut dalam kesesakan lalu lintas dan mula terasa letih, seeloknya anda mencari tempat yang selamat untuk berhenti dan berehat seketika. Jalan yang sesak boleh membuatkan anda cepat letih, kejang otot dan stres. Ketika sedang memandu, jika tiba-tiba anda terasa kontraksi ringan, berhenti sebentar di kawasan yang selamat. Turunkan tempat duduk agar anda boleh berbaring dan berehat seketika sehingga rasa kontraksi itu hilang sebelum kembali memandu. Jika kontraksi tidak hilang atau pun makin kuat terasa, segeralah menghubungi keluarga atau kenalan terdekat untuk mendapatkan bantuan. Di akhir-akhir bulan kehamilan, anda juga dinasihatkan agar tidak memandu dan mintalah bantuan suami, keluarga atau pun kenalan untuk menghantar ke mana-mana.

No comments:

Post a Comment