Thursday, January 30, 2014

HATI-HATI MINYAK TIRUAN

Minyak Hitam Tiruan, Ramai Mana Yang Dah Kena Tipu? Beberapa hari lepas, dalam berita tv ada cerita pasal serbuan pihak berkuasa ke sebuah kilang memproses minyak enjin atau minyak hitam tiruan. Serbuan itu adalah sebuah kilang yang memproses dan membotolkan pelbagai jenis minyak hitam. Menurut pihak berkuasa, kemungkinan minyak tersebut adalah minyak hitam kitar semula atau bukan minyak hitam tulen. Kilang itu juga membotolkan minyak hitam itu dengan pelbagai nama dan jenama. Tahniah kepada pihak berkuasa kerana mengambil tindakan. Dengan tindakan itu, telah berjaya menyelamatkan jutaan ringgit wang rakyat dari terus tertipu. Jual di Bengkel dan Kedai Alatganti Minyak hitam itu diedar dan dijual di sebahagian bengkel seluruh negara dan kedai alat ganti kenderaan. Pembeli sukar untuk membezakan antara minyak hitam tulen dan tiruan sehingga selama ini sudah ramai yang tertipu. Pengeluar barang tersebut, termasuk pengedar dan penjual sudah untung entah berapa banyak dengan menipu dengan cara ini dan entah berapa tahun atau puluh tahun mereka buat kerja menipu seperti ini. Saya sendiri selalu beli minyak hitam di kedai alat ganti dan ada pengalaman juga dengan minyak hitam tidak tulen ini. Dalam tahun 2008 dulu, saya dapat satu minyak hitam di sebuah kedai alat ganti dengan harga murah. Kemudian saya pergi ke sebuah kedai yang terkenal menjual alat ganti Honda di Johor Bahru. Bila saya pertikai dia jual minyak hitam yang sama dengan harga yang lebih tinggi, dia ambil masa yang panjang untuk menerangkan kepada saya. Dia menunjukkan pada saya perbezaan antara minyak hitam tulin dengan tiruan. Minyak Hitam dan Minyak Gear Dia juga menunjukkan minyak gear auto yang ori dan tiruan pada saya. Dia keluarkan satu buku dan terangkan kepada saya. Dia juga pergi ke stor dia dan bawa satu botol minyak gear auto yang dah kosong dan satu lagi minyak gear yang masih ada isi. Dia tanya saya, apakah perbezaan antara kedua-dua botol itu? Lama saya fikir dan belek kedua-dua botol itu tapi saya tak dapat jawapannya. Rupa-rupanya ada satu cop kecil yang ditebuk dengan elok bermakna barang ori. Manakala satu lagi cop itu cuba ditiru tetapi tidak sama, menunjukkan itu tiruan. Saya sikit pun tak menjangka itu adalah tiruan. Bahaya Minyak Gear Tiruan Kepada sesiapa yang pakai kereta Peugeot atau Citroen, kereta itu hendaklah menggunakan minyak khas yang ori sahaja. Kalau kita gunakan minyak lain atau yang katanya ori tapi tiruan, tak lama lagi rosaklah gear auto kita. Jadi, berhati-hati sangatlah kalau tukar minyak gear, pastikan ori. Kesan Minyak Hitam Tak Ori Saya tak berapa nampak mengenai kesan kita pakai minyak hitam tak ori sehingga boleh rosakkan enjin kereta kita. Maknanya, apapun minyak hitam yang kita pakai, tidak menyebabkan enjin kereta kita rosak. Kalau pandangan saya ini betul, maka semakin berleluasalah penjualan minyak hitam tiruan di pasaran. Cuma, saya rasa, kalau kita guna minyak tak ori, power kereta kita akan berkurangan sedikit atau berat sikit sahaja. Dah ramai orang kita kena tipu dengan minyak hitam tiruan ini. Ramai orang pergi ke bengkel kereta nak tukar minyak hitam dan mereka tidak ada kepakaran untuk mengetahui minyak itu tulen atau tidak. Oleh itu, penguatkuasaan pihak berkuasa ke bengkel-bengkel, kedai alatganti kereta dan kilang pembungkusan perlulah berterusan dan tegas. Pengeluar Tak Mahu Heboh-heboh Saya berbual dengan seorang pomen mengenai minyak hitam ini. Katanya, minyak hitam tirun sudah lama wujud di pasaran. Pengeluar sendiri pun tahu kewujudan minyak tiruan ini. Tetapi kenapa mereka sendiri berdiam diri? Kawan saya kata, syarikat itu tidak mahu heboh-heboh, nanti orang tahu yang minyak hitam jenamanya itu banyak yang tiruan. Jadi nanti ramai orang tak mahu pakai minyak hitam itu kerana takut terkena yang tiruan. Contohnya jenama minyak hitam ABC yang dah terkenal, tiba-tiba keluar berita ada jenama ABC yang tiruan. Maka, pembeli akan kata yang jenama ABC banyak yang tiruan dan mengelakkan dari memakai jenama ABC ini. Jadi, jenama tiruan ini terus berada di pasaran. Guna Jenama Lain Kekadang saya tengok ada saja jenama baru di pasaran apabila saya beli minyak hitam di kedai alatganti. Bila saya tanya, dia kata ini jenama baru yang berkualiti. Jadi, kalaulah yang dikatakan jenama baru ini adalah minyak kitar semula atau minyak entah apa-apa, penjual ada banyak ruang untuk melepaskan diri. Pertama, syarikat yang pada jenama itu tidak wujud atau tidak meniru nama jenama terkenal. Maknanya, tidak ada syarikat yang akan buat laporan mengenai penjualan minyak hitam tiruan ini. Minyak Masak Kelapa Sawit Sebagai Minyak Hitam Mungkin kita tak tahu dan ada juga yang tahu, kereta boleh guna minyak masak kelapa sawit sebagai minyak hitam. Kawan saya pakai kereta Proton Saga lama dan Kancil, sudah lebih 8 tahun dia guna minyak masak kelapa sawit sebagai minyak hitam. Dia ini pomen dan dia ada cerita kepada orang lain juga. Dia kata, enjin lebih ringan, bau lebih wangi dan yang paling penting jimat wang ringgit. Dia cuma keluar belanja lebih kurang RM 15 sahaja untuk 4 liter minyak masak. Saya Tak Pernah Cuba Pun Saya cerita saja mengenai minyak masak ini, tapi saya pun tak pernah cuba. Sebab saya tak cuba, pertama, saya servis kereta kat kedai. Rasa malu pulak nak bawa satu tong minyak masak ke kedai. Tapi saya rasa, nanti nak try juga dengan gantikan tong minyak hitam dengan minyak masak siap-siap kat rumah. Sebab kedua, saya takut kereta saya rosak. Yer le, kita beli kereta mahal-mahal, tiba-tiba rosak disebabkan minyak masak tu, kan ker nanti menyesal. Kawan saya tu pomen, kalau kereta dia rosak, dia boleh repair sendiri. Tapi setahu saya, kereta dia tu okey jer. Lagipun kereta dia Proton dan Kancil, kereta saya lain. Mungkin saya anggap kereta saya tak sesuai. Kenapa Tak Cuba? Mungkin juga kita ditakut-takutkan dan tak mahu mencuba suatu yang baru. Dunia mengiktiraf yang minyak sawit Malaysia bermutu tinggi dan kajian serta penemuan telah ada mengenai kegunaan minyak sawit sebagai minyak enjin kenderaan. Banyak Barang Tiruan? Kita dengar dan baca di akhbar mengenai banyaknya rokok tiruan. Pembelinya cukup ramai kerana harganya jauh lebih murah berbanding rokok yang ori. Walaupun penguatkuasaan dijalankan, tetapi bukanlah mudah untuk dibenteras. Ada pelbagai lagi barang termasuk pakaian, beg dan lain-lain. Saya yang main ping-pong pun, pernah dapat tahu kewujudan getah ping-pong dan bola jenama terkenal yang tiruan. Permainan ping-pong kita akan hilang mutu bila terkena getah tiruan. Bola ping-pong pula tak tahan lama dan kita dapat bezakan rasa apabila memukul bola berkenaan. Wujudkan Talian Aduan Saya cadangkan supaya pihak berkuasa wujudkan talian terus untuk membuat aduan mengenai barang tiruan ini. Tidak kiralah apa barang, asalkan boleh dikesan kesalahannya, bolehlah orang ramai buat aduan. Mungkin ada atau mungkin tidak talian aduan ini, saya pun tak berapa tahu sangat. Adalah lebih baik kalau kita hebahkan nombor telefon aduan ini dan identiti pengadu perlulah dirahsiakan.

Sunday, December 29, 2013

TOYOTA CAMRY BARU!

Toyota Camry 2013.12 Sejak dilancarkan di Malaysia pada tahun 1994, Toyota Camry telah menjadi antara kereta sedan bersaiz sederhana paling popular. Faktanya setakat 2011, sebanyak 95 ribu unit model itu telah terjual dan juga menjadi peneraju pasaran di dalam kelasnya untuk beberapa tahun. Antara faktor pencapaian itu ialah rekabentuk yang pintar, keselesaan dan prestasinya. Paling utama ialah keyakinan terhadap jenama Toyota itu sendiri di samping kualiti, tahan lasak dan boleh dipercayai. UMW Toyota Motor Sdn Bhd telah melancarkan Camry serba baharu pada tahun 2012 dengan tiga varian iaitu Camry 2.5V, Camry 2.0G, Camry 2.0E dengan empat pilihan warna termasuk warna baharu iaitu Attitude Black. Kesemua varian itu dikuasakan oleh enjin tersohor Toyota dengan teknologi VVT-i dan transmisi automatik. Toyota Camry 2013.15 Pasukan pereka Camry baharu telah menggunakan tema “Rational Tech Dinamism” dengan penampilan sporty. Memahami citarasa pembeli Camry dan juga input daripada pelanggan, perekanya telah memilih rekaan yang ringkas tetapi menonjol dengan fokus pada kualiti permukaan menggunakan kaedah kemasan baharu. Jika dipandang dari sudut depan, wajah Camry baharu kini nampak lebih gah di mana bonet telah ditinggikan manakala lampu utama dan gril direka supaya tampak lebar. Dipandang dari sisi pula, Camry nampak seimbang, moden dan elegan di samping saiznya yang besar. Sisi penumpang belakang telah ditinggikan dan menurun ke hadapan seperti huruf V (wedge) yang menghasilkan seolah-olah kereta sedang bergerak walaupun di dalam keadaan statik. Bahagian belakang pula menekankan bentuk yang lebar melalui beberapa peralatan seperti palang hiasan (garnish), bentuk lampu dan juga posisi lampu reflektor. Kecekapan aerodinamik juga adalah ciri yang penting bagi menghasilkan kereta yang stabil, selesa dan penggunaan minyak yang rendah. Bucu badan Camry telah dibentuk supaya mesra rintangan angin manakala ruang terbuka di bawah kereta telah dikurangkan dan penutup ruang turut ditambah supaya aliran udara lebih lancar. Sebagai tambahan, terdapat sirip kecil pada penghujung kereta supaya gelora angin yang menyebabkan seretan dan ketidakstabilan dapat dikurangkan. Kajian ekstensif yang dilakukan di terowong angin Toyota mendapati bahawa aliran angin pada sisi kereta sangat kuat dan jika ianya dapat dikurangkan kestabilan kereta akan bertambah baik. Untuk mengatasi senario itu, sirip penstabil aerodinamik telah ditambah pada tapak cermin sisi dan hasilnya kereta menjadi lebih stabil. Toyota Camry 2013.13 Untuk bahagian dalaman pula, perekanya telah mensasarkan untuk menimbulkan rasa suasana yang berkualiti, dengan tanggapan fizikal dan visual yang luas. Caranya ialah dengan menyemak semula pakej interior bagi mengeksploitasi saiz kabin yang diperbesarkan dan juga mereka semula beberapa komponen seperti pedal minyak dan kerusi depan yang telah dianjak ke hadapan manakala posisi kedudukan pinggul kerusi belakang telah ditarik ke belakang. Selain daripada itu, rasa yang lebih luas juga telah dicapai melalui pembaikan pada visual yang boleh dinikmati penumpang dengan mereka semula tiang A dan B kereta. Juga direka semula ialah bentuk belakang pada kerusi depan dan konsol tengah yang memberi lebih efek keluasan. Selain daripada itu, untuk memberi lebih keselesaan pada penumpang, rangka kerusi turut direka kembali. Ketinggian sandaran dan panjang kerusi telah ditambah menghasilkan lebih permukaan untuk sokongan badan. Meter Optitron yang besar dengan tiga gugusan pula berfungsi pada semua keadaan pencahayaan manakala Multi Info Display (MID) pula menyediakan maklumat jarak perjalanan, suhu luar, purata kelajuan, jarak laju jajap (cruising speed), penggunaan minyak dan masa perjalanan. Baharu untuk Camry ialah meter penggunaan minyak semasa dan purata. Juga baharu ialah Eco Driving Indicator Light yang dapat membantu pemandu bagi mendapatkan pemanduan yang menjimatkan. Suis-suis seperti kawalan audio, penyaman udara, dan MID dipasangkan pada stereng yang dapat mengurangkan pergerakan pemandu. Untuk Camry 2.5V, sistem audionya didatangkan dengan skrin sentuh bersaiz 6.1 inci, pemain DVD dan fungsi tambahan seperti sambungan Bluetooth dan paparan kamera undur. Toyota Camry 2013.05 Dengan keadaan suhu negara tropikal yang panas, menyejukkan kabin adalah tugas yang penting dan sistem penyaman udara dua zon pada Camry baharu telah diuji secara ekstensif di dalam cuaca Malaysia bagi memastikan prestasi yang terbaik. Sistem itu boleh ditetapkan pada mode Auto yang mengekalkan tahap kesejukan di dalam kabin atau pun ditetapkan secara manual. Penumpang belakang turut dibekalkan dengan corong penyaman udara melalui belakang konsol tengah supaya suhu sejuk diedarkan dengan lebih menyeluruh. Penumpang belakang terus diutamakan apabila cermin belakang dipasangkan bidai elektronik dan bidai manual untuk cermin sisi. Menguasakan Camry baharu ialah dua pilihan enjin iaitu 2.5 liter 2AR-FE dan 2.0 liter 1AZ-FE. Kedua-dua enjin yang diperbuat daripada aluminium itu mempunyai teknologi VVT-i yang merupakan sistem termaju dalam meningkatkan kuasa dengan penggunaan minyak yang efisyen dan mengurangkan kadar emisi berbahaya. VVT-i membolehkan enjin berfungsi pada kedudukan terbaik melalui teknologi injap pemasaan yang sentiasa berubah mengikut corak pemanduan. Sementara enjin 1 AZ-FE ditambah baik daripada model sebelumnya, enjin 2AR-FE merupakan nadi kuasa baharu untuk Camry dengan teknologi Dual VVT-i yang lebih canggih dengan mengoptimumkan pemasaan bukan sahaja pada injap pengambilan tetapi juga pada injap ekzos. Kaedah itu menambah baik prestasi enjin dan penggunaan minyak serta mengurangkan pencemaran udara. Kuasa enjin dan tork untuk kedua enjin tersebut dikatakan antara yang terbaik di dalam kelasnya. Untuk enjin 2AR-FE, kuasa maksimum ialah 181ps pada 6,000 rpm dengan tork 231Nm pada 4,100 rpm manakala enjin 1AZ-FE dengan beberapa perubahan dalaman pula berkuasa 148ps pada 6,000 rpm dan tork 190Nm pada 4,000 rpm. Toyota Camry 2013.09 Dipadankan pada Camry 2.5V ialah transmisi automatik Super ECT enam kelajuan. Transmisi tersebut mempunyai fungsi manual apabila pemandu inginkan pemanduan yang lebih ‘drama’. Dengan enam nisbah kelajuan, transmisi itu membolehkan penukaran di antara gear lebih lancar dan pada kelajuan yang lebih tinggi dan pada masa yang sama kelajuan enjin boleh dikurangkan untuk penjimatan minyak. Transmisi Camry 2.5V turut mempunyai Flex-start control yang menggunakan fungsi klac kuncian untuk memperbaiki kecekapan pemindahan kuasa dan terlebih dahulu mengurangkan kuasa enjin yang juga menyumbang kepada penggunaan minyak yang ekonomikal. Sebagai tambahan, Flex lock-up control turut berfungsi selepas tukaran gear kedua. Buat Camry 2.0E dan 2.0G, Toyota masih mengekalkan transmisi empat kelajuan automatik Super ECT dengan fungsi tukaran manual yang menawarkan respon yang pantas, tukaran yang lancar dan penjimatan minyak hasil daripada teknologi geseran rendah yang digunakan. Tambahan pula, transmisi tersebut sudah pun teruji pada Camry generasi sebelumnya. Sistem suspensi Camry baharu adalah sama seperti model sebelumnya yang sudah terbukti. Pasukan jurutera telah mengambil kira faktor aerodinamik yang telah di tambah baik pada model ini. Faktor tersebut telah menyumbang kepada lebih kestabilan seterusnya mengoptimumkan prestasi hentakan untuk memberi lebih keselesaan. Kestabilan pada laluan lurus dan tahap pemanduan yang lebih fokus akan lebih dirasai pada Camry baharu. Teknologi stereng rak dan pinan berkuasa kini didatangkan dengan motor elektrik berbanding pam kuasa. Penggunaan minyak lebih baik apabila kuasa enjin tidak lagi digunakan untuk menggerakkan pam kuasa stereng. Selain daripada itu, bantuan motor elektrik hanya dibekalkan apabila diperlukan dan dari sudut alam sekitar, ianya lebih baik memandangkan tiada minyak digunakan pada sistem itu. Lebih menarik jumlah bantuan kuasa berkadaran dengan kelajuan kereta iaitu dilebihkan pada kelajuan rendah untuk senang dikemudi dan dkurangkan pada kelajuan tinggi untuk memberi lebih kawalan pada pemandu. Toyota Camry 2013.14 Toyota komited dalam menawarkan kenderaan berkualiti tinggi yang mempunyai sistem keselamatan yang bagus sama ada daripada aspek keselamatan Aktif dan Pasif. Standard yang digunakan adalah berdasarkan sistem dalaman yang dikenali sebagai Global Outstanding Assesment (GOA) yang menetapkan sasaran yang sama ada setara atau lebih baik daripada standard antarabangsa. Setiap model baharu Toyota termasuk Camry perlu disahkan melalui kaedah GOA sebelum dijual kepada umum. Untuk Camry, brek cakera yang besar dipasangkan pada tayar depan dan belakang untuk meningkatkan kuasa pemberhentian. Sistem brek dilengkapi dengan ABS manakala penggerak (actuator) brek baharu yang lebih kompak telah dipasang. Ciri tambahan lain yang turut dipasang ialah Electronic Brakeforce Distribution (EBD) yang berkerja dengan unit kawalan ABD bagi melaras kuasa brek ke depan dan belakang berdasarkan keadaan jalan dan beban muatan. Brake Assist (BA) juga standard dan membekalkan kuasa tambahan semasa brek kecemasan untuk mengurangkan defisit kuasa apabila pemandu kurang memberi kuasa pada pedal brek seperti sepatutnya. Walaupun ciri-ciri keselamatan Aktif pada Camry baharu boleh membantu pemandu mengelakkan kemalangan, Toyota turut memastikan chasis yang telah melalui proses GOA membekalkan ciri-ciri keselamatan Pasif. Struktur Camry telah direka untuk menyerap tenaga hentakan dan mengurangkan impak pada penumpang kereta. Besi ketegangan tinggi (HT steel) digunakan pada poin strategik untuk mengurangkan kesan sewaktu hentakan pada sisi kereta. Di dalam kabin, rangka kerusi juga dibina untuk menyerap hentakan dari tepi dan anggota silang (crossmeber) di tengah-tengah lantai juga direka untuk fungsi yang sama. Chasis terus diperkuatkan dengan menyambung cowl (tutup) depan pada bahagian atas suspensi. Toyota Camry 2013.10 Toyota turut mengambil kira pengguna jalan lain apabila bonet dan struktur Camry direka supaya dapat mengurangkan kecederaan kepada pejalan kaki apabila berlaku pelanggaran. Jika berlaku pelanggaran, pemandu dan penumpang turut dibekalkan dengan beg udara depan (SRS) dengan tali pinggang keledar pra tegang untuk mengurangkan pergerakan ke depan. Buat penumpang Camry 2.5V terdapat tambahan beg udara sisi yang dapat melindungi mereka sewaktu pelanggaran sisi. Kerusi Camry turut didatangkan dengan Whiplash Injury Lessening (WIL) yang dapat mengurangkan kecederaan kepada sewaktu pelanggaran dari belakang. Kebiasaannya kepala akan bergerak ke belakang secara mengejut dan WIL memberi sokongan kepada kepala dan bahagian atas belakang bagi mengurangkan kecederaan jenis itu. Walaupun penumpang akan tertahan dengan tali pinggang keledar, kepala mereka akan bergerak dan mengenai bahagian dalaman kabin yang menyebabkan kecederaan. Untuk bahagian atas kabin, Toyota menggunakan bahan yang dapat menyerap hentakan bagi mengurangkan kecederaan. Untuk mereka yang inginkan kelainan, UMW Toyota Motor menawarkan kit aero yang dapat memberikan penampilan yang lebih sporty dan agresif pada Camry mereka. Pelanggan boleh memesan aksesori tersebut sewaktu pembelian kereta dan kit tersebut akan dipasang di pusat aksesori UMW di Bukit Raja, Selangor. Terdapat beberapa aksesori lain seperti filem penebat haba dan keselamatan Premium dan DVD Audio Visual Navigation (DVDAV) dengan kamera undur untuk varian 2.0G dan 2.0E. Toyota Camry baharu didatangkan dengan waranti selama 3 tahun atau 100,000 km yang mana dahulu.

Tuesday, November 12, 2013

TOYOTA KE30 MELAMPAU

WARNA kuning Ferrari membuatkan penampilan Toyota KE30 ini begitu menyerlah. ________________________________________ KETERLALUAN? Mungkin. Toyota Corolla E30 itu sangat melampau apabila dipasangkan dengan enjin Mazda rotary 13B. Jarang dibuat orang dan saya tidak fikir ramai yang sanggup membuat modifikasi hingga ke tahap ini. Enjin rotary 13B pada Toyota KE30 mungkin sudah jadi perkara biasa. Tetapi pada model E30 dengan casis yang tua, takut tercabut pula ruang enjin bila pecut nanti. Namun, kalau hati sudah suka dan duit bukan penghalang, modifikasi begini adalah ‘permata’ bagi peminat kereta yang telah diubah suai. Enjin itu bukan masuk begitu sahaja. Sebaliknya ia dipasang dengan kemas dan sangat cantik berbanding projek Kancil L2 yang pernah saya lihat sebelum ini. Dalam geran, model sebenar kereta itu ialah Toyota Corolla KE55R CS Sedan. Ia tergolong dalam keluarga E30 dan lebih popular disebut sebagai KE30. KE30 mempunyai banyak varian seperti coupe, hardtop, sport coupe, wagon, malah versi van pun ada (di pasaran Jepun).
ENJIN 13B Mazda RX7 yang tidak mengalami sebarang proses ubah suai ketara. ________________________________________ Ketika kereta itu mula-mula dikeluarkan dahulu, ia menjadi Corolla paling berjaya di pasaran Amerika Syarikat. Kecil, ekonomikal, tidak banyak kerenah dan minyaknya super jimat. Waktu itu krisis minyak sedunia sedang melanda dan orang sudah tidak terima idea gila enjin V8 atau kereta muscle yang pelahap petrol. Modifikasi paling penting pada jentera itu ialah ekzos 5Zigen. Kalau sudah nama enjin rotary, pasang ekzos yang boleh mengejutkan orang satu pekan barulah seronok. Bunyi enjin 13B N/A (aspirasi biasa) itu semakin galak apabila dipadankan dengan paip ekzos salur terus. Enjin itu langsung tidak diusik. Pasang paip tahan karat, hos Samco dan penapis udara K&N sahaja. Modifikasi penting ialah gandar belakang dengan bahan kitar semula Mitsubishi Lancer A174 dengan LSD. Ada lagi, klacnya ialah Twinplate OS Giken! Apabila kereta sudah laju, suspensi mestilah berada dalam kondisi cemerlang. Jadi, ia dipasang dengan set suspensi boleh laras TRD depan belakang. Rim replika Enkei RS Evolution itu 17 inci saiznya. Nampak besar betul pada kereta itu. Tayarnya ialah Falken Ziex 215/40 depan dan 215/45 Continental di belakang.
PAPAN pemuka jentara lama ini nampak cukup ringkas. ________________________________________ Bagi memastikan kereta dapat diberhentikan dengan selamat, brek FD Efini depan dan belakang digunakan. Kalau anda rasa projek begini asal boleh atau cuma harap kepada enjin dan badan sahaja yang terjaga, memang anda silap. Bahagian dalamannya dikemaskan dengan sepasang tempat duduk Recaro merah hitam yang telah dibalut semula. Papan pemuka pula nampak kemas dengan pelekat karbon. Sementara meter asal FD ditanam dalam casis dengan kelongsong asal KE55 dibiarkan pada posisinya. Bijak bukan? Kemasan akhir ialah warna kuning Ferrari yang nampak sangat menyerlah. Bukan sahaja catnya kemas, malah kerja restorasi badannya juga memang cemerlang. Bukan senang hendak membaik pulih kereta lama jadi tahap sebegini. Perlu sabar dan beri kepada mekanik yang betul. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0914&pub=Kosmo&sec=Pemotoran&pg=pe_02.htm&fb_action_ids=447243388727897&fb_action_types=og.likes&fb_ref=.Ukq4CSndYyc.like&fb_source=aggregation&fb_aggregation_id=288381481237582#ixzz2kPrJiVcP Hakcipta terpelihara

Thursday, September 5, 2013

HONDA BARU

Setia Alam, 4 September 2013 – Honda Accord serba baharu generasi kesembilan yang sudah lama ditunggu-tunggu akhirnya tiba di Malaysia! Direka semula secara sepenuhnya dan dilengkapi pelbagai teknologi baharu dan canggih ciptaan Honda, Sedan Premium Pintar Termaju ini akan menetapkan satu penanda aras baru sebagai produk yang menerajui segmennya.
Accord menyerlahkan semenjak penghasilannya 37 tahun dahulu menerusi perubahan penuh ke atas lapan model sebelum ini. Dipasarkan di 160 buah negara, Accord kekal sebagai penanda aras dalam industri dengan jualan kumulatif mencecah 19 juta unit di seluruh dunia. Sejak membuat penampilan pertama pada tahun 1976, Accord telah menjadi model penting buat Honda. Ia juga mengalami evolusi teknologi bersama Honda demi memenuhi keperluan pengguna masa kini. Accord serba baharu dibina dengan gayaan inovatif yang diperhalusi serta ciri-ciri premium termaju. Ia pasti mampu menarik perhatian golongan yang gemarkan kemewahan, sama ada lelaki atau wanita yang ingin mendapatkan sebuah sedan mewah. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn. Bhd., En. Yoichiro Ueno berkata, “Di Malaysia, Accord mempunyai ramai peminat setia untuk semua generasinya. Sehingga 31 Ogos 2013, lebih 51,500 unit Honda Accord telah terjual di seluruh Malaysia. Photo 5 En. Roslan Abdullah, President and COO, Mr. Hideaki Kawano, Assistant to MD, Mr. Yoichiro Ueno, MD and CEO, Mr. Akkbar Danial, Head of Marketing, Mr Masao Nakano, A-LPL of All-New Accord Accord serba baharu yang akan diperkenalkan kepada anda pada hari ini akan menetapkan satu penanda aras baru sebagai produk yang menerajui segmennya. Accord generasi kesembilan telah dibina dan direka dengan memberi keutamaan kepada para pelanggan kami. Ia berhasrat untuk mencipta keseimbangan di antara kemewahan dan prestasi yang merangkumi sistem keselamatan inovatif serta teknologi-teknologi termaju demi menawarkan keselesaan dan kemewahan terunggul,” tambah Encik Ueno. Accord generasi kesembilan juga membuatkan para jurutera Honda kembali membuat lakaran dan memulakannya daripada asas bersama objektif untuk meningkatkannya ke tahap lebih tinggi, selain menjadikannya sebagai Accord terbaik dalam kelasnya. Nadi Accord ini adalah “Honda DNA”. Nilai-nilai dan DNA Accord dikekalkan – gaya yang tidak ditelan zaman, keselesaan dan kesenyapan terbaik dalam kelasnya, peningkatan tahap penjimatan bahan api, elemen seronok untuk dipandu, kualiti pandangan yang baik bersama ciri-ciri keselamatan termaju serta bernilai untuk wang. Dengan penambahan teknologi termaju, sofistikasi, kemewahan dan kualiti; Accord serba baharu dikonsepkan agar menjadi “Pakej paling efisien pada sebuah Sedan Premium Pintar.” Accord serba baharu ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0VTi, 2.0VTi-L dan 2.4VTi-L. Varian tertinggi kini dikuasakan oleh enjin “Earth Dreams Technology” Honda yang revolusionari. “Earth Dreams Technology” merupakan satu set inovasi teknologi generasi akan datang yang dicipta oleh Honda untuk menawarkan kualiti pemanduan berprestasi tinggi dan penjimatan bahan api. Ketiga-tiga varian ini dilengkapi ECON Mode. Apabila diaktifkan, ECON Mode akan menggabung dan mengoperasikan satu siri fungsi ECO Assist. Kombinasi pintar ini mampu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api kenderaan dengan hanya menekan satu butang sahaja. Accord serba baharu yang direka penuh gaya ini adalah lebih kecil dan ringan berbanding model terdahulu. Berpaksikan kepada konsep asas “Sedan Dinamik Pintar”, Accord serba baharu menampilkan rekaan luaran yang telah dipertingkatkan melalui badan berbentuk V yang sangat aerodinamik. Ruang dalaman Accord serba baharu menetapkan penanda aras baharu dari aspek keluasan, sofistifikasi dan kehalusan buatan dalam segmennya. Berasaskan kepada falsafah kejuruteraan dan reka bentuk Honda iaitu ‘Man Maximum, Machine Minimum’ (Manusia Maksimum, Mesin Minimum), Honda berjaya meningkatkan ruang dalaman untuk menjadikannya lebih luas dan selesa buat para penumpangnya. Ruang kaki penumpang belakang telah ditingkatkan sebanyak 35.5mm, manakala bahagian butnya pula 23 liter lebih besar. Secara keseluruhannya, ruang dalamannya mengutamakan kemewahan dan berkualiti tinggi bersama rekaan yang bersih untuk meningkatkan lagi keselesaan. Perkakasan penyerapan bunyi bising yang efisien, Kawalan Bunyi Bising Aktif (Active Noise Control, ANC) dan Kawalan Suara Aktif (Active Sound Control) berfungsi untuk menawarkan kesenyapan di dalam kabin yang mengatasi kelasnya. Aspek Kebisingan, Getaran dan Kekasaran (Noise, Vibration, Harshness atau NVH) ditingkatkan secara signifikan melalui pakej pemasangan pad penyerapan yang kukuh. Ini membolehkan pemandu dan penumpang menikmati pemanduan menyeronokkan di dalam kabin Accord serba baharu yang luas dan selesa. Accord serba baharu telah dibina berdasarkan kepada kemahuan para pelanggan Honda terhadap ciri-ciri keselamatan pintar dan maju, di samping teknologi bantuan penglihatan yang sememangnya membantu pemandu. Salah satu contohnya ialah LaneWatch Camera yang ada pada varian 2.4VTi-L dan menjadi model pertama Honda Malaysia yang menerima ciri keselamatan tersebut. Visual titik buta akan dipaparkan pada Paparan Multi Maklumat pintar (i-MID) VGA LED sepenuhnya bersaiz lapan inci. Accord serba baharu (2.0VTi-L and 2.4VTi-L) juga menampilkan Kamera Pandang Belakang Pelbagai Sudut (Multi-Angle Rearview Camera) yang mampu mempamerkan ruang sehingga 180 darjah untuk pandangan lebih jelas ketika mengundur kenderaan. Ciri isyarat berhenti kecemasan (Emergency Stop Signal) dan One Touch Lane Change meningkatkan lagi aspek keselamatan inovatif kenderaan yang dinamik ini. Dipasang pada varian 2.4VTi-L, sistem Active Cornering Lights (ACL) menawarkan pencahayaan tambahan secara automatik apabila pemandu mengaktifkan indikator atau memusingkan stereng melebihi 90 darjah. Ini adalah satu ciri baharu buat Honda. Lampu utama LED pada varian 2.4VTi-L juga merupakan yang pertama ditawarkan pada model keluaran Honda Malaysia. Meletakkan aspek keselamatan ke tahap lebih tinggi, Accord serba baharu hadir bersama ciri Motion Adaptive EPS (MA-EPS) yang digabungkan dengan sistem VSA untuk membantu pemandu mendapatkan kestabilan ketika berada dalam situasi understeer dan oversteer. Honda Malaysia menawarkan jaminan selama lima tahun bersama jarak perbatuan tanpa had serta selang servis 10,000km bagi menawarkan pengalaman pemilikan terbaik kepada semua pemilik Accord serba baharu. Honda Malaysia percaya bahawa pakej selepas jualan baru yang kompetitif ini mampu menarik minat para pelanggan Honda untuk menjadikan Accord sebagai kenderaan pilihan mereka. Accord serba baharu didatangkan dalam lima warna – satu warna baharu yang menarik iaitu Modern Steel Metallic, Champagne Frost Pearl, Crystal Black Pearl (hitam), Taffeta White (putih) dan Alabaster Silver Metallic (perak). Honda Malaysia mensasarkan untuk menjual 2,800 unit Accord generasi kesembilan pada tahun 2013. Accord serba baharu juga dijangka mampu menguasai 30 peratus perkongsian pasaran untuk kenderaan segmen D Eksekutif bukan nasional. Tambah Ueno lagi, “Accord serba baharu menetapkan satu standard baharu dari aspek kemewahan dan ciri-ciri teknologi inovatif. Kami yakin bahawa model ini akan menjadi produk yang mendahului segmennya dan disukai oleh semua rakyat Malaysia.”

Sunday, August 25, 2013

TIP JAGA KERETA KALIS AIR?

Tip penjagaan kereta pada kali ini ialah... bagaimana hendak membuatkan keseluruhan kerata anda seolah-olah kalis air dengan cara mudah... Biasanya, kenderaan yang kalis air (air tak lekat pada body)ialahkenderaan yang baru sahaja dihantar poslish kat kedai. Tapi buatsakit hati je kalau lepas polish dua tiga hari... kesan kalis air sudah mula kurang dan akhirnya kenderaan menjadi comot.. Kos untuk polish pula bukannya murah... malah berpuluh-puluh ringgit. Di sini saya nak berkongsi tip tentang cara mudah untuk menghasilkan body kereta yang kalis air. Rahsia saya ialah... ..bilas dengan PELEMBUT PAKAIAN. Cara-caranya ialah: 1. Cuci kereta anda sebersih-bersihnya. 2. Bilas dengan air biasa dahulu. 3. Sediakan separuh baldi air dan bancuhkan dengan sepenutup penuh pelembut pakaiaan. 4. Larutan tadi anda boleh lap dengan kain atau disemburkan dengan pam pemyembur pada seluruh body kereta anda. (getah/cermin semua boleh). 5. Biarkan larutan itu seketika pada badan kereta anda. Pada masa ini anda akan dapat melihat kesan serta merta larutan itu terhadap air yang melekat pada body kereta. Air yang melekat akan serta-merta menjadi bintik-bintik dan akhirnya mengalir turun.(kenapa?..tak percaya ka?) 6. Jangan tunggu kering baru lap... .tetapi lap dengan kain lembab dengan larutan tadi sehingga kering. Dengan cara ini... anda seolah olah telah mempolish kereta anda. Anda boleh ulang berkali-kali proses (4)~(6) pada bila-bila masa (kalau kereta tak kotor sangat). Larutan itu juga anda boleh masukkan ke dalam tangki pengelap cermin supaya cermin anda seperti mencurah air di daun keladi. Kebaikan guna larutan ini ialah ia tidak mengaratkan logam (baik untuk body kereta dan pemancut cecair cermin) malah menghalang pengaratan kerana benda ini selamat pada mesen basuh anda. Semua PELEMBUT PAKAIAN adalah sesuai..tak kiralah apa brand pun. Selamat mencuba ye..dan rasa kalau malas ha...senang je..apa lagi datang jela ke ke BENGKEL MAT KRISS ye....lagi senangkan...taulah Mat Kriss mempolish kereta anda ke tahap maksima...janji puas hati... jom hubungi Mat Kriss kalau rasa-rasa nak kasi kereta chantekk dan kilat lagi berseri gitew....

Thursday, August 22, 2013

TIP MEMANDU BAGI WANITA HAMIL

WALAU pun sedang hamil, namun ia bukanlah penghalang untuk seseorang wanita itu ‘bersara’ sejenak daripada memandu. Tidak dinafikan ada wanita yang akan mengharapkan bantuan suami untuk menghantarnya ke mana-mana ketika sedang hamil. Namun bagi wanita yang memilih untuk berdikari, sudah pasti mereka tidak mahu menyusahkan si suami. Lantas, biar pun ‘penat membawa perut’, namun tugas memandu termasuklah menghantar anak-anak ke sekolah tetap diteruskan.
Biar pun bakal mengalami sedikit (atau mungkin juga teruk) kelelahan sepanjang kehamilan, namun rutin harian ini masih tetap boleh dilakukan asalkan tidak sampai menjejaskan keselamatan dan kesihatan anda serta si kecil yang berada di dalam kandungan. Namun jika anda bercadang mahu memandu untuk perjalanan yang jauh dan memakan masa yang lama, dinasihatkan agar anda melakukan pemeriksaan kesihatan dan kandungan agar tidak menimbulkan sebarang masalah sepanjang pemanduan. Trimester Pertama Sering kali pada tempoh awal kehamilan, anda mungkin mengalami gejala morning sickness dan ia akan membuatkan tubuh badan kurang sihat, agak lemah, mual, muntah dan pening kepala. Dinasihatkan agar anda tidak memandu jika sedang mengalami morning sickness. Sebelum memandu, dinasihatkan agar anda menjamah makanan biar pun sekadar sedikit saja untuk mengalas perut. Jika perut anda kosong, ia boleh mendorong rasa mual ketika memandu, lebih-lebih lagi jika penghawa dingin terpasang di dalam kereta. Anda juga digalakkan agar membawa bekalan makanan ringan dan air sepanjang perjalanan. Ada kalanya wanita hamil akan cepat berasa lapar, jadi dengan adanya bekalan makanan ini, bolehlah anda makan dalam perjalanan. Selain daripada itu, pastikan anda juga membawa gula-gula atau gula-gula getah. Mungkin anda boleh memakannya bagi mengelakkan rasa mual ketika memandu. Antara perkara lain yang penting ialah jangan lupa sediakan beg plastik di dalam kenderaan untuk kecemasan jika anda muntah. Dan jika anda terasa pening, mual atau pun muntah secara tiba-tiba, segera memperlahankan kenderaan dan berhenti di kawasan yang selamat. Berehat seketika sebelum memulakan kembali perjalanan. Andai keadaan anda tidak mengizinkan untuk memulakan kembali pemanduan, dinasihatkan agar anda menghubungi keluarga atau kenalan terdekat untuk membantu anda. Ingat, memandu di dalam keadaan yang kurang sihat boleh menjejaskan keselamatan anda sendiri. Trimester Kedua Jika terasa tulang belakang mula sakit, anda dinasihatkan agar berhenti seketika di kawasan yang selamat untuk berehat. Apabila keadaan anda mula kembali pulih, barulah sesuai untuk meneruskan pemanduan. Jika otot atau sendi mula terasa lenguh atau ngilu, anda juga boleh berhenti sejenak di kawasan selamat, keluar dari kereta atau lakukan sedikit senaman regangan yang boleh membantu menenangkan tubuh badan. Trimester Ketiga Untuk mengelakkan rasa sengal atau sakit bahagian belakang badan, letakkan bantal kecil di belakang anda ketika memandu. Elakkan perut terlalu rapat dengan stereng dan pastikan kaki boleh menekan pedal sepenuhnya. Jika takut perut terkena stereng, anda juga boleh meletakkan bantal kecil di antara perut dan stereng. Jika tersangkut dalam kesesakan lalu lintas dan mula terasa letih, seeloknya anda mencari tempat yang selamat untuk berhenti dan berehat seketika. Jalan yang sesak boleh membuatkan anda cepat letih, kejang otot dan stres. Ketika sedang memandu, jika tiba-tiba anda terasa kontraksi ringan, berhenti sebentar di kawasan yang selamat. Turunkan tempat duduk agar anda boleh berbaring dan berehat seketika sehingga rasa kontraksi itu hilang sebelum kembali memandu. Jika kontraksi tidak hilang atau pun makin kuat terasa, segeralah menghubungi keluarga atau kenalan terdekat untuk mendapatkan bantuan. Di akhir-akhir bulan kehamilan, anda juga dinasihatkan agar tidak memandu dan mintalah bantuan suami, keluarga atau pun kenalan untuk menghantar ke mana-mana.